“Seperti mana azab dilalui ibu saya yang dibunuh kejam, saya mahu semua penjenayah yang bertanggungjawab (melakukan pembunuhan) dibalas dengan hukuman mati di tali gantung,” kata Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, anak jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, selepas empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Banting, Selangor, semalam, atas tuduhan membunuh ibunya dan tiga individu lain.
Ketika dihubungi semalam, dia yang mesra dengan panggilan Rita mengaku masih bersedih dengan kehilangan ibunya dan hatinya masih berat untuk percaya dengan apa yang berlaku.
“Ada kalanya saya takut untuk membaca akhbar atau mendengar cerita bagaimana kejamnya ibu dan tiga mangsa lain diperlakukan penjenayah. Mereka tidak berperikemanusiaan dan berhati syaitan.
“Saya cuma berharap polis dapat membuktikan jenayah terancang dilakukan semua suspek bagi membolehkan hukuman berat dan setimpal dijatuhkan kepada mereka,” kata anak sulung daripada enam beradik itu.
Rita berkata, sekuat mana sekali pun hatinya cuba menahan air mata daripada menitis, hakikatnya hanya Tuhan yang tahu penderitaan dan kesedihan dialami.
“Kehilangan ibu merentap kebahagiaan kami adik-beradik yang amat manja dan menjadikan ibu sebagai tempat menumpang kasih sejak kecil.
“Sukar dijelaskan apa yang kami rasa selepas kehilangan ibu, namun apa cara sekali pun cita-cita dan impian ibu perlu diteruskan. Hanya doa tidak henti dipohon supaya roh ibu ditempatkan di kalangan hamba yang dilindungi Allah,” katanya.
Ditanya berhubung aktiviti harian selain cabaran perlu dihadapi bagi meneruskan perniagaan kosmetik Nouvelles Visages (NV), Rita memberitahu masih banyak yang perlu dipelajarinya.
No comments:
Post a Comment
Jangan lupa komen taw... wink wink
From Mulan Maseirra